I made this widget at MyFlashFetish.com.

Islamic Clock

FIQH PERUBATAN SEMASA

UBAT – UBATAN NABAWI
Sebenarnya yang dikatakan ubat – ubatan Nabawi ini amat luas. Tulisan ini sekadar membicarakan sebahagian yang dikatakan ubat – ubatan Nabawi. Mudah – mudahan Allah SWT member kemudahan kepada kita untuk mengumplkannya beserta dengan nas dan penjelasan tentang faedah – faedahnya.

1. Yang paling utama ialah Kitab Allah iaitu Al – Quran. Berubat dengan Al – Quran merupakan perkara paling utama dan mutlak bertepatan dengan hokum syarak. Sebagaimana yang kita maklum jampi yang paling syar’i ialah dengan ayat – ayat Al – Quran. Orang yang merawat dan dirawat perlulah meyakini bahawa kuasa penyembuh yang sebenar ialah Allah SWT. Segala kaedah yang dilakukan hanyalah usaha dan ikhtiar sahaja. Meyakini usaha atau ubat serta perawat itu sebagai kuasa penyembuh boleh menyebabkan berlakunya syirik kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Al – Israk ayat yang ke 82 bermaksud :

“Dan Kami turunkan dengan beransur – ansur dari Al – Quran ayat – ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang – orang yang beriman kepadanya dan sebaliknya Al – Quran tidak menambahkan orang – orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua”

Firman Allah SWT lagi dalam Surah Fussilat ayat 44 yang bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad) Al – Quran itu menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang – orang yang beriman”

Firman Allah SWT lagi dalam Surah Yunus ayat 57 yang bermaksud :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”

Jangan ada yang menyangka bahawa Al – Quran ini hanya penyembuh kepada penyakit – penyakit ain, sihir atau gangguan jin sahaja bahkan penyembuh kepada semua penyakit Insyaallah, sama ada penyakit rohani maupun fizikal.

2. Berubat menggunakan doa dan wirid – wirid yang syar’i. Doa – doa ini mempunyai kesan yang besar di dalam mencari kebaikan, kesihatan dan menolak kemudharatan dan penyakit.

Khaulah Binti Halim R.A. mendengar Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa yang singgah pada sesuatu tempat lalu membaca

أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

“Aku berlindung dengan kalimah - kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan makhluk yang Dia ciptakan”

Sudah tentu dia tidak akan dapat dimudharatkan oleh sesuatu sehinggalah dia meninggalkan tempat itu.

(Hadis Riwayat Muslim)



Anas R.A. pernah berkata kepada Shabit – Sukakah engkau kalau saya jampi anda dengan jampi Rasulullah SAW ? Jawab Shabit Ya. Lalu Anas R.A membaca

اَللَّهُمَّ رَبُّ النَّاسِ مَذْهَبُ الْبَأْسِ اِشْفِ , أَنْتَ الشَّافِي أَنْتَ اِشْفِهِ شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

“Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan sekalian manusia,penghapus kesedihan, sembuhkanlah, Engkau Tuhan Yang Maha Penyembuh. Tidak ada penyembuh yang sebenar melainkan Engkau, sembuhkanlah dengan kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”


Ini merupakan contoh doa dan jampi Rasulullah SAW. Para pembaca sekalian boleh mencari atau mempelajari jampi – jampi dan doa – doa daripada Rasulullah SAW untuk diamalkan. Carilah dan pelajarilah ia untuk kebaikan kita bersama.



3. Berubat dengan menggunakan Madu



Firman Allah SWT dalam Surah An – Nahl ayat 69 yang bermaksud :



“Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir”



Sabda Nabi SAW yang bermaksud :



“Hendaklah engkau berubat dengan dua jenis ubat iaitu Al – Quran dan Madu”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah & Al – Hakim)



4. Berubat dengan cara Berbekam



Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A. secara marfuk yang bermaksud :



“Kesembuhan itu terdapat pada tiga perkara iaitu pada satu goresan pisau ( berbekam ) atau pada satu sudu madu atau satu kepanasan api, tetapi aku melarang umatku dari menggunakan kepanasan api”

(Hadis Riwayat Bukhari)



Hadis riwayat Abu Hurairah R.A. secara marfuk yang bermaksud :



“Sesiapa yang berbekam pada hari yang ke 17 atau 19 atau 21, akan memperolehi kesembuhan daripada segala penyakit”

(Hadis Hasan Riwayat Abu Daud)



5. Berubat dengan bijian jintan hitam ( Habbatus Sauda’)



Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud :



“Hendaklah anda berubat dengan bijian hitam ( Habbatus Sauda’ ) ini kerana padanya terdapat kesembuhan dari segala penyakit kecuali al – sam. ( Al – sam itu ialah mati )”

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)



Inilah sebahagian daripada ubat – ubatan Nabawi yang sempat saya paparkan untuk tatapan semua pihak. Banyak khazanah perubatan Nabi yang perlu kita terokai yang kini sudah dilupai oleh umat Baginda. Pendedahan ini bukan bermakna menafikan kaedah perubatan moden tetapi sebagai penambah kaedah perubatan yang boleh diamalkan oleh semua pihak.